Semoga cerita begini sedikit sebanyak     memberi kesedaran dan panduan..... .
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
cerita nih aku 'copy' dr email yg diforwardkan pada emailku..
hayatilah cerita dibawah ini..
"Muntahlah atas tangan Amid."
17 tahun dulu.
PETANG itu, di serambi rumah usang milik keluarga kami di Kuala Terengganu,     saya duduk bersila berhadapan dengan adik bongsu, Amid atau nama sebenarnya     Syed Mohammad Nazri Syed Bidin.
"Kenapa kau nak berhenti sekolah?"
soal saya.
Amid menundukkan kepala dan membisu.
Saya tidak puas hati. Sekali lagi saya ulang soalan yang sama.
"Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak.
Amid nak jaga emak sampai akhir hayat,"
jawab Amid dengan lembut, tetapi tegas.
Saya tersentak mendengar jawapan Amid.
"isshhh.  betul ke budak ni?
Baru darjah enam, masa seronok budak-budak pun masih belum habis,"
hati saya berkata kata.
"Cakap betul-betul dengan abang. Kenapa tak nak sekolah? Ada budak     jahat kacau ke?"
pujuk saya lagi.
Saya tidak mahu Amid berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan gangguan     budak-budak nakal.
"Betul bang, Amid tak tipu. Amid tak nak sekolah sebab nak jaga emak.
Nanti kalau Amid belajar pandai-pandai, kena duduk jauh dari mak. Amid tak     nak tinggalkan mak,"
katanya separuh merayu.
Melihat kesungguhannya, saya jadi buntu. Nampak gayanya, Amid tidak     bergurau.
"Betul ke ni?"
soal saya masih tidak percaya.
"Betul,"
balas Amid pula tanpa ragu ragu.
"Suka hati adiklah,"
kata saya selepas lama termenung.
Mendengar jawapan saya, Amid tersenyum lalu meminta izin untuk masuk ke     dalam rumah.
Saya termenung di serambi. Kata kata Amid itu benar-benar memberi kesan     terhadap jiwa saya. Kecil-kecil lagi sudah ada kesedaran mahu berbakti     kepada emak.
Tetapi, peristiwa itu berlaku 17 tahun dulu. Kini Amid sudah dewasa, umur     pun sudah mencecah 29 tahun.
Saya tidak lagi ragu-ragu terhadap Amid. Memang betul, Amid tidak mahu     bersekolah dulu kerana mahu menjaga emak.
Amid tidak bergurau. Amid telah membuktikan kepada saya dan adik beradiknya     yang lain, memang dia ikhlas mahu menjaga emak.
Memang tidak dapat dinafikan, di antara kami Sembilan beradik, Amidlah anak     yang paling taat terhadap emak. Tingkah lakunya, tutor katanya, begitu     tertib ketika bersama emak atau orang yang lebih tua darinya. Seumur hidup,     saya dan adik-beradik lain tidak pernah melihat Amid bersikap atau bercakap     kasar terhadap emak.
Apa saja keputusan atau kehendaknya, Amid akan merujuk kepada emak terlebih     dahulu.
Emaklah yang akan memutuskan. A kata emak, A jugalah katanya. Hitam kata     emak, hitamlah kata Amid.
Saya sendiri, termasuk adik beradik lain tidak mampu untuk bersikap seperti     Amid.
Pernah juga saya mengajak Amid bekerja di Kuala Lumpur mencari rezeki di     sana, tetapi dia menolak.
Katanya,
biarlah dia tinggal bersama emak.
"Kalau semua pergi, sapa nak jaga emak?
Sapa nak uruskan lembu kambing? Kakak?
Dia perempuan.. Mana larat buat kerja yang berat-berat.
Lagipun takkan nak biarkan rumah ni tak ada lelaki?"
"Abang dan kakak pun dah ada keluarga masing-masing.
Abang Usop dan Abang Mat pula dah duduk di KL.
Jadi, biarlah Amid duduk di kampung aja. Kerja jaga kambing dan lembu pun     tak apalah,"
kata Amid kepada saya.
Setiap kali saya mengajak, pasti jawapan Amid sama. Lama-kelamaan saya mengalah.
Kami adik-beradik sudah faham perangai Amid. Saya tahu, pasti Amid tidak     akan setuju untuk ke Kuala Lumpur.
Amid dan emak bagaikan isi dengan kuku. Bagaikan satu nyawa. Tidak boleh     berpisah. Dia lebih rela menjadi gembala lembu daripada meninggalkan emak     yang sudah tua itu.
Bukan itu sahaja, dalam hal-hal makan minum pun, Amid tetap akan     mendahulukan emak.
Sekiranya dia membawa pulang kuih-muih yang dibeli dari pekan, janganlah     sesiapa sentuh, selagi emak tidak menjamah terlebih dulu.
Ada kalanya saya perasan, emak menjamah sikit makanan itu, semata-mata     untuk menjaga hati Amid.
Jika Amid berkenan untuk membeli sesuatu barangan, dia tidak akan terus     membelinya. Amid terlebih dulu akan pulang dan meminta izin emak untuk     membeli barang tersebut.
Sekiranya emak mengizinkan, barulah dia beli barang itu. Jika tidak, dia     tidak akan beli, biarpun barangan itu memang dia inginkan.
Ketika emak terlantar sakit dan hampir lumpuh, Amidlah yang menjaganya.     Kami adik-beradik ketika itu benar-benar mengharapkan Amid sebagai anak     lelaki untuk menjaga emak.
Maklumlah, kami di Kuala Lumpur. Tetapi Amid memang tidak mengecewakan     kami.
Cerita emak kepada saya, setiap malam Amid akan tidur berdekatan emak di     ruang tamu rumah tempat emak terbaring. Tidak pernah sekalipun dia tidur di     biliknya selama emak terlantar.
Pantang terdengar emak bergerak Mau terbatuk di tengah malam buta, Amid     pasti terjaga.
"Kenapa mak?
Mak nak buang air ke?
Lapar? Mak nak minum?"
Amid akan bertanya pada emak.
Sekiranya emak mahu buang air, Amid akan memapahnya ke bilik air.
Jika emak mahu minum, dia akan menyediakan minuman. Kalau emak pening, Amid     akan memicit-micit kepala emak sehingga orang tua itu terlena.
Jika emak menggigil kesejukan, Amid akan menarik selimut menutupi tubuh     emak daripada kedinginan malam.
Satu malam, cerita emak kepada saya lagi,
ketika sedang berbaring, tiba-tiba dia berasa pening kepala. Lalu emak pun     mengadu pada Amid yang sedang berbaring di sebelahnya.
Amid bingkas bangun lalu memicit micit kepala emak. Tiba-tiba, emak terasa     nak muntah sangat-sangat.
Amid yang baru saja bangun untuk mengamhil besen, apabila melihatkan     keadaan emak, membatalkan hasratnya ke dapur.
Amid segera berteleku dihadapan emak lalu menadah tangannya, meminta emak     muntah di telapak tangannya.
Berlambak muntah emak di telapak tangan Amid. Tetapi, Amid sedikit pun     tidak kisah atau berasa geli-geleman.
Apabila mendengar cerita emak, saya sendiri yang menitis air mata.
Memang, Amid sanggup berbuat apa sahaja untuk emaknya. Sehingga kini,     apabila saya teringatkan peristiwa itu, air mata pasti bergenang.
Sebak hati saya apabila emak menceritakan bagaimana Amid melayannya ketika     dia sedang terlantar sakit.
Pengorbanan Amid terhadap emak memang tidak mampu dilakukan oleh     adik-beradik yang lain termasuk saya sendiri.
Di samping itu, Amid juga bertanggungjawab memberi makan lembu kambing     sebanyak 30 ekor. Semuanya Amid laksanakan tanpa bersungut. Amid menjaga     emak sehingga sembuh sepenuhnya..
Semenjak berhenti sekolah, sehingga ke usianya hampir mencecah 30-an, rutin     hidup Amid tidak pernah berubah.
Pagi, Amid akan ke kebun dan selepas solat Zuhur, dia akan pulang untuk     makan tengah hari.
Sementara menunggu petang menjelang, dia akan tidur sebentar melepaskan     lelah.
Kemudian, selepas solat Asar, Amid akan keluar semula. Dia akan ke kebun     yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari rumah
untuk memastikan lembu kambing yang sudah kekenyangan itu dimasukkan semula     ke dalam kandang.
Begitulah kehidupan Amid seharian. Biarpun ketika Itu, usianya sudah cukup     matang untuk mendirikan rumah tangga, namun dia langsung tidak terfikir ke     arah itu.
Katanya pada saya,
buat masa ini, cukuplah seorang wanita bergelar ibu di dalam hidupnya.
Khamis 7 Oktober 2004
AJAL dan maut di tangan Tuhan.
Tidak ada sesiapa yang mampu menolak ketentuan Ilahi. Saya sendiri tidak     menyangka, hari itu, Amid akan meninggalkan kami buat selamanya.
Terlalu cepat rasanya Amid pergi terutama dalam usianya yang masih muda.
Amid meninggal dipanah petir.
Ceritanya begini.
Pada hari itu, selepas pulang dari kebun menghantar emak ke rumah, Amid     menunaikan solat Asar.
Selepas selesai, dia akan menunggang motosikal buruknya ke kebun untuk     menghalau kambing dan lembu masuk semula ke kandang.
Ketika itu, langit sudah gelap. Kilat mula memancar diiringi dentuman     guruh. Menurut cerita kakak saya, Mek, Amid berada di kandang sehingga     pukul 6.00 petang.
Mek nampak Amid menghalau lembu kambingnya sebab rumah Mek dekat saja     dengan kandang haiwan itu.
Kira-kira pukul 6.15 petang, hujan mula turun dengan lebat. Kakak saya,     Mek, Jah bersama adik saya, Nor dan Ana sedang berada di rumah mereka pada     waktu itu.
Apabila hujan lebat turun dan guruh serta petir sabung-menyabung, mereka     sangkakan Amid sudah pulang ke rumah emak.
Jadi mereka langsung tidak memikirkan tentang Amid kerana menyangka Amid     sudah pulang ke rumah sebelum hujan turun.
Tiba-Tiba.
prangggggg. tuuuuummmmt!
Dentuman serta panahan petir yang teramat kuat itu membuatkan Mek, Jah, Nor     dan Ana terperanjat.
Panahan petir itu turut membelah beberapa batang pokok pisang yang ditanam     di belakang rumah serta merobekkan dinding dan pintu bilik air rumah Mek.
Pada masa yang sama, emak yang sedang berada di halaman rumahnya kira-kira     dua kilometer dari rumah Mek, turut terperanjat mendengar bunyi dentuman     petir itu.
Darahnya berderau. Lutut emak tiba-tiba saja jadi lemah. Dirinya terasa     seperti di awang-awangan.
Tiba-tiba mulut emak terpacul kata kata,
"Ya Allah.  anak aku!"
Hati emak jadi berdebar-debar. Dia teringatkan Amid yang sedang berada di     kebun.
Emak tiba-tiba bimbang terjadi sesuatu yang buruk terhadap Amid.
Kira-kira setengah jam berlalu, hujan semakin reda. Pancaran kilat dan     guruh juga sudah sayup-sayup bunyinya. Tiba-tiba Mek teringatkan Amid.
Dia menghubungi emak, tetapi kata emak, Amid masih belum pulang..
Mek mula rasa tidak sedap hati. Dia mengajak abang kami, Pok Yee untuk     keluar bersama mencari Amid. Mereka berdua menuju ke kandang yang tidak     jauh dari rumah mereka itu.
Sampai di sana...
"Ya Allah, adik akuuuuuu!!!"
jerit Mek sebaik sahaja melihat Amid terbaring mengiring di bawah pohon     sentul di depan kandang kambingnya.
Mek memangku kepala Amid. Mek Jerit nama Amid beberapa kali,
tapi Amid tidak lagi menyahut. Tubuhnya kaku.
Cerita Mek kepada saya.
ketika itu dia melihat darah mengalir laju keluar dari telinga Amid. Kesan     lukanya pula seperti terkena tembakan peluru. Dari waJahnya, sehingga ke     paras dada, menjadi hitam kesan terbakar.
Amid dibawa ke hospital dengan hantuan seorang jiran dan disahkan sudah     meninggal dunia.
Ketika menunggu hospital membenarkan kami membawa pulang jenazah Amid, Mek     pun bercerita kepada kami bagaimana dia melihat sesuatu yang agak pelik     pada mayat Amid ketika dia mula-mula menjumpainya.
Cerita Mek,
mayat Amid dijumpainya terbaring mengiring menghadap ke arah kiblat dan     kedua-dua tangannya pula dalam keadaan kiam.
Lazimnya seseorang yang dipanah petir, tercampak dan keadaan anggota     badannya tidak teratur. Tetapi ini tidak, mayat Amid seolah olah     dibaringkan dan tangannya dikiamkan ke dada.
cerita Mek kepada kami lagi.
Pagi Jumaat 8 Oktober 2004
PAGI itu, suasana pilu menyelubungi rumah kami. Mayat Amid terbujur kaku     diselimuti kain kapan di ruang tamu.
Saya terma suk beberapa orang adik-beradik dan orang kampung, sibuk     menguruskan urusan pengebumian Amid.
Di sekeliling mayat, kelihatan saudara-mara memenuhi ruang rumah, termasuk     orang-orang kampung membacakan surah Yasin.
Setelah solat jenazah, mayat Amid dibawa ke perkuburan. Sebaik selesai     urusan pengebumian, azan solat Jumaat pun berkumandang.
Sehari selepas Amid dikebumikan, saya ke kuburnya untuk membacakan surah     Yasin.
Saya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.00 pagi.. Ketika sedang     khusyuk membaca Yasin.
tiba tiba saya terdengar suara burung berkicauan di atas pokok-pokok di     kuburan itu.
Pada mulanya saya tidak hiraukan kicauan burung-burung tersebut. Tetapi     lama-kelamaan, saya dengar bunyi kicauan itu semakin kuat dan rancak.
Saya pun mendongak, kelihatanlah sekumpulan burung sedang terbang berpusing     dan galak berkicau.
Mula timbul rasa pelik dalam diri saya sebab sewaktu mula-mula sampai ke     tanah perkuburan, langsung tidak nampak kelibat seekor burung pun.
Saya menyambung kembali bacaan sehingga tamat.
Anehnya, sebaik saya habis membaca surah Yasin, bunyi kicauan burung itu     hilang serta-merta.
Apabila saya mendongak, saya dapati sekawan burung yang berterbangan tadi     juga sudah ghaib entah ke mana.
Serentak itu saya terbau saw haruman yang tidak pernah saya rasai sebelum     ini. Baunya amat harum.
Saya mencaricari dari mana datangnya bau harum itu, mungkin dari orang lain     yang berkunjung ke kawasan perkuburan itu, tapi saya tidak menemuinya..
Tiada orang lain di kawasan perkuburan itu kecuali saya.
Saya kemudian meninggalkan pusara Amid, sedang di dalam kepala masih     terfikir-fikir tentang kejadian pelik sebentar tadi.
Apabila pulang ke rumah emak, tambah memeranjatkan, apabila saya terbau     haruman yang sama di dalam bilik Amid. Saya masuk ke biliknya dan mendapati     bau tersebut datangnya dari sudut bilik tempat Amid sering bersembahyang.
Subhaanallah! Itu saja yang mampu saya katakan dalam hati.
Bukanlah tujuan saya untuk bercerita tentang kebaikan adik sendiri atau     bertujuan untuk berbangga, riak dan sebagainya,
tetapi bagi keluarga kami, Amid menjadi contoh seorang anak yang begitu     taat kepada ibunya. Dan kisah ini ingin saya kongsikan bersama sebagai satu     pengajaran buat kita semua.
Setiap kali saya terbaca kisah-kisah sadis dan kejam seperti kejadian anak     membunuh ibu, atau anak sanggup menghantar ibu bapa ke rumah jagaan     orang-orang tua di akhbar atau majalah,
pasti saya akan teringatkan sikap Amid.
Biarpun Amid sudah pergi meninggalkan kami hampir lebih dua tahun lamanya,     namun apabila saya terkenangkannya, saya akan menitiskan air mata. Sedih     dan terharu apabila mengenangkan pengorbanan Amid terhadap emak.
Namun, dalam sedih, ada terselit di hati saya rasa gembira. Sikap taatnya     kepada ibu, dan peristiwa pelik yang berlaku pada Amid ketika kematiannya,     membuatkan saya yakin, itu adalah petunjuk dari Tuhan, sebagai balasan buat     seorang anak yang telah mengabdikan diri terhadap ibu sehingga ke akhir     hayatnya. 
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari     awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya     ialah dalam masa dua tahun;
(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu     bapamu;
dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima     balasan)". 
- Surah Luqman ayat 14. 
~MemOir oF PadAng pAsIR~ Copyright © 2009 
Scrapbook Mania theme designed by Simply WP and Free Bingo
Converted by Blogger Template
 Template




0 comments:
Post a Comment